NASIONAL

PTPTN perlu tegas ingatkan peminjam setiap bulan

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu lebih tegas dengan memberi peringatan setiap bulan kepada peminjam yang culas membayar balik pinjaman dalam tempoh lama.

Pengerusi Panel Penasihat Bebas Konsultasi Rakyat PTPTN, Sheikh Shahruddin Sheikh Salim berkata, sebanyak 51 peratus peminjam PTPTN adalah peminjam culas iaitu 32 peratus daripadanya atau 616,000 peminjam membuat pembayaran secara tidak konsisten manakala 19 peratus atau 356,000 peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman dengan tunggakan mencecah RM2.8 bilion.

Bercakap pada sesi dialog awam konsultasi rakyat berkaitan isu PTPTN di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini, Sheikh Shahruddin berkata PTPTN perlu mengatasi cabaran utamanya iaitu kekangan kewangan sedia ada berikutan tahap bayaran balik pinjaman yang masih rendah.

“Oleh itu, dalam sesi dialog awam ini, orang ramai diajak menyumbang pendapat masing-masing bagi membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik dalam menggubal dasar berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kita akan mendengar segala pendapat yang diberikan oleh ramai dan akan menyerahkan kepada pihak PTPTN semua idea berkenaan untuk menambah baik 10 idea yang dicadangkan dalam Kertas Konsultasi Rakyat sebelum ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :