SELANGOR

SELCAT bincang isu projek Taman Air Manis

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 MEI: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) mula bersidang hari ini, bagi membincangkan Sesi Pendengaran Awam Isu Projek Pembangunan Perumahan Di Taman Air Manis, Panchang Bedena, Sabak Bernam.

Persidangan di Bilik Gerakan di Dewan Annex, SUK, di sini membabitkan Pengerusi SELCAT, Ng Suee Lim, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong; ADN Hulu Kelang, Saari Sungib; ADN Banting, Lau Weng San; ADN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin; ADN Sungai Air Tawar, Rizam Ismail dan ADN Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Antara saksi yang dipanggil ialah ADN Sabak, Ahmad Mustain Othman selaku pengadu; Yang DiPertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Mohd Faizul Fitri Musli; Ketua Pegawai Eksekutif Kaca Architects Sdn Bhd, Dato’ Ar Kamal Abdullah dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Sr Nazmi Osman.

Selain itu, Penilai Daerah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta daerah Klang, Faziah Abd Rasid dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman turut dipanggil bagi memberikan keterangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Selangor, Dato’ Sri Ahmad Omar dan Ketua Pegawai Operasi MBI Selangor, Soffan Affendi Aminudin turut dipanggil bagi memberikan penjelasan lanjut.

Difahamkan sesi pendengaran awam itu bermula dari 10 pagi sehingga 5 petang.

Isu berkenaan dilontarkan Ahmad Mustain dan Ketua Pembangkang, Rizam Ismail dalam sidang dewan negeri lalu.

Pembangunan jenis bersepadu berkeluasan 10 hektar itu mempunyai nilai komersial dan Rumah Selangorku yang dirancang sejak 2011, namun sehingga hari ini pembangunan dijanjikan tidak sepenuhnya siap.

Oleh itu, SELCAT dan semua pihak mahu mengetahui apakah masalah dihadapi pemaju Permodalan Negeri Selangor Berhad kerana sejumlah RM30 juta sudah dibelanjakan.

 


Pengarang :