SUKANKINI

Skuad hoki wanita terpaksa korbankan raya demi Olimpik

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Skuad hoki wanita negara nampaknya terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana perlu melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Siri Final Wanita Dunia FIH di Banbridge, Ireland Utara, dari 8 hingga 16 Jun ini.

Skuad Malaysian Tigress perlu muncul antara dua pasukan terbaik dalam kejohanan lapan negara itu untuk mengesahkan tiket ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 antara Oktober dan November ini.

Umat Islam di negara ini dijangka menyabut Aidilfitri pada 5 Jun ini, justeru skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah akan meneruskan latihan semasa Ramadan yang bermula hari ini.

Muhammad Dharma berkata pada bulan Ramadan ini, anak buahnya akan akan mengikuti latihan dua sesi sehari iaitu dari jam 3 hingga 4.30 pagi dan 9 hingga 11 malam.

“Bukan mudah untuk bangun dari tidur pada jam 3 pagi dan berlatih pada waktu itu tetapi kami tahu akan menghadapi pasukan yang kuat seperti Korea Selatan dan Ireland,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

“Selain itu, ini adalah peluang terakhir untuk beraksi di Sukan Olimpik bagi beberapa pemain yang mungkin bersara selepas kempen ini,” katanya.

Justeru, katanya, anak buahnya berazam untuk menampilkan aksi yang terbaik bagi memburu dua tiket yang disediakan untuk ke pusingan kelayakan terakhir nanti.

Pada kempen di Ireland, Malaysia, yang menduduki ranking ke-22 dunia, diundi dalam Kumpulan A bersama-sama dengan negara tuan rumah, Irealand (8), Republik Czech (19) dan Singapura (35) manakala Kumpulan B terdiri daripada Korea Selatan (11), Scotland (18), Ukraine (26) dan Perancis (30).

Muhammad Dharma berharap skuad negara dapat menduduki sekurang-kurang tempat ketiga dalam kumpulan sebelum beraksi pada perlawanan playoff untuk memburu tempat ke peringkat separuh akhir.

Juara kumpulan akan layak secara automatik ke separuh akhir manakala dua lagi pasukan separuh akhir ditentukan menerusi playoff.

Sebagai persediaan, jurulatih itu berkata skuad negara akan berlepas ke Rome, Itali, pada 23 Mei ini untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan, kemudian ke Glasgow, Scotland pada 1 Jun untuk perlawanan persahabatan sebelum ke Ireland pada 6 Jun.

– BERNAMA


Pengarang :