SELANGOR

Sumbangan PKM Sungai Tua perkasa program masyarakat India

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 5 MEI: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Sungai Tua bersedia memberi bantuan dan sumbangan kewangan dalam usaha menyokong pelaksanaan program masyarakat India termasuk komuniti setempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Ahli Dewan Negerinya, Amirudin Shari berkata, berdasarkan rekod, hampir 40 peratus daripada peruntukan sumbangan itu semenangnya dikhususkan kepada komuniti India, setiap tahun.

“Mengikut rekod, tiap-tiap tahun paling tidak 30 hingga 40 peratus penerima sumbangan itu datang daripada komuniti India di kawasan ini.

“Di samping menyelesaikan satu ada dua isu kecil, kita juga membantu penganjuran program besar seperti perayaan Thaipusam yang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Manakala selebihnya kita juga sudah menyelaras isu kuil di Selangor termasuk di Sungai Tua dan bantuan kepada sekolah tamil di Batu Caves yang memerlukan bantuan serta sokongan setiap tahun daripada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya usaha Kerajaan Negeri bagi membantu memperkasakan program masyarakat India selepas Majlis Perasmian Pertandingan Tradisional Masyarakat India sempena Tahun Baru Chittirai, di Padang Awam Batu Caves, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan; wakil Pejabat Parlimen Gombak, Razali Ramli dan Ahli Majlis Zon 7 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Decandran Sevaraju.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, pihaknya juga membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bukan sahaja terdiri daripada komuniti India, bahkan semua kaum dengan menyediakan program tuisyen sebagai persiapan menduduki peperiksaan terbabit.

“Program tuisyen ini dijalankan di semua sekolah dan sebahagiannya ada pelajar daripada komuniti India.

“Kita akan buat setiap tahun untuk meraikan masyarakat India yang ada di DUN Sungai Tua,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :