BERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan lawat Sekinchan

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengadakan lawatan mesra ke Sekinchan, di sini, hari ini.

Lawatan selama hampir satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawati beberapa tempat menarik di sini.

Baginda memulakan lawatan pertama mencemar duli ke Hotel A+ Sekinchan dengan bersarapan bersama rakyat sambil mendengar taklimat berkaitan sejarah asal usul Sekinchan.

Kedatangan baginda disambut Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

 

Seusai bersarapan, baginda mencemar duli melawat kedai barangan antik, Ah Ma House yang cukup sinonim dan terkenal bukan sahaja di Sekinchan, namun di Selangor khususnya.

Baginda turut mencemar duli mengayuh basikal sejauh 500 meter bersama rombongan Istana dan tetamu jemputan menuju ke kilang padi terbesar di daerah ini, PLS Marketing Sdn Bhd.

Selain itu, pada sebelah petang baginda dijadual meneruskan lawatan ke ke Ladang Tanaman Mangga King dan Jambu Madu di Site A Kitchen sebelum menikmati santapan tengah hari di Restoran Eksotik Lembah Bernam Parit 9, di sini.

Baginda turut mencemar duli melawat Wisma Masri, Parit 7, perusahaan Industri Kecil Tempatan yang cukup terkenal menjual kerepek dan pelbagai jenis kuih.

Baginda dan rombongan meneruskan lawatan mencemar duli ke Kilang Khind, kilang menghasilkan barangan eletrik yang membekalkan ke seluruh Malaysia.

Selain itu, aktiviti petang baginda meneruskan lawatan mencemar duli ke Kampung Bagan dan Jeti Ah Hee bagi melihat aktiviti nelayan sebelum bersiar di Pantai Redang.

Manakala, pada sebelah malam, baginda menikmati santapan makanan laut yang amat terkenal di Sekinchan, Restoran Secret Garden 1960.

Sebelum berangkat pulang ke Istana, baginda dan rombongan mencemar duli menaiki bot untuk ke Jeti Sky Mirror bagi melihat keindahan dan meneroka keajaiban Blue Tears.

 

 


Pengarang :