SELANGOR

IWB anjur bengkel penulisan gender

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 MEI: Institut Wanita Berdaya (IWB) membuka peluang kepada orang awam mengikuti Bengkel Penulisan Kesedaran Gender yang akan diadakan pada Mei ini secara percuma.

IWB memaklumkan bengkel yang diadakan selama dua siri itu akan mengupas berkenaan proses penulisan dengan lebih terperinci.

Katanya, ia demi memantapkan penulisan selain mempertingkatkan kesedaran berkaitan kepentingan profesionalisme, sensitif gender dan integriti dalam penulisan.

“Selain aspek pemilihan konsep yang betul, format yang tepat, kepelbagaian gaya bahasa dan teknik penulisan kreatif mampu menjadi penarik kepada minat pembaca, hari ini nilai kualiti dalam sesebuah karya semakin dititikberaktan.

“IWB juga mahu mengasah bakat terpendam yang ada dalam diri selain mendorong penglibatan penulis secara serius dalam bidang penulisan kreatif dengan menerapkan kualiti peka gender,” katanya.

Siri pertama yang dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 Mei ini bakal memberi penekanan tentang Penulisan Ilmiah.

Manakala, siri kedua pula bakal memberi fokus berkenaan tajuk Penulisan Kreatif yang akan diadakan pula pada 25 dan 26 Mei.

“Bengkel dua hari setiap sesi di hujung minggu ini akan bermula pada jam 9 pagi hingga 4 petang bertempat di Hab Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin, Dana 1 Commercial Centre, Petaling Jaya.

“Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin mendalami lagi bidang penulisan,” katanya.

Orang ramai perlu menghantar ringkasan mengenai diri anda dan mengapa anda berminat menyertainya segera ke alamat email [email protected].

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Ain Nasiehah di talian 013-506 6088.


Pengarang :