NASIONAL

111,879 wanita berdaftar dengan i-Suri

 

KUCHING, 29 Jun : Seramai 111,879 wanita seluruh negara telah berdaftar dengan i-Suri, sebuah program tabungan wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa setakat 31 Mei lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata i-suri merupakan salah satu daripada banyak program yang dibangunkan oleh kementerian itu khusus bagi tujuan membantu golongan wanita.

“Justeru, saya menyeru semua suri rumah yang berkelayakan untuk menyertai skim itu,” katanya semasa berucap pada program Pertemuan dan Ramah Mesra Aidilfitri bersama rakyat di Matang Mall, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pendaftaran i-Suri di Sarawak sehingga tarikh yang sama telah mencapai seramai 17,980 orang.

“Kami menjalankan kempen i-Suri sejak awal pagi sehingga malam ini dalam program Santuni Rakyat di Mydin Mall Petra Jaya. Sambutan daripada orang ramai dan kumpulan sasar amat meriah dan menggalakkan,” katanya.

Sementara itu, Wan Azizah berkata PKR amat menghargai pengorbanan dan jasa yang ditabur oleh para perintis perjuangan reformasi di Sarawak terutamanya Datuk Seri Hafsah Harun yang merupakan pelopor kepada perjuangan reformasi di Bumi Kenyalang itu.

Beliau berkata Hafsah kini dilantik sebagai Penasihat Khas (Hal Ehwal Sarawak) di pejabat Timbalan Perdana Menteri.

“Ramai kalangan perintis perjuangan Reformasi yang sukar hendak disebutkan nama mereka satu persatu yang mana saya sekeluarga, serta Presiden PKR, Anwar Ibrahim (Datuk Seri Anwar Ibrahim), tidak akan lupa jasa dan pengorbanan mereka. -BERNAMA


Pengarang :