GLOBAL

Ainul Mardhiah selamat dibedah

OLEH NAZLI IBRAHIM dan IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 11 JUN: Operasi membuang kanser mulut Germ Cell Tumor dihidapi adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, berjaya selepas menjalani pembedahan selama lebih kurang lima jam di London, semalam.

Pakar bedah warga Malaysia berkhidmat di United Kingdom, Dr Nur Amalina Che Bakri ketika berkongsi perasaan gembira di laman instagramnya berkata, tumor terbabit seberat 200 gram.

“Alhamdulillah Ainul, awak seorang bayi perempuan yang kuat. Selepas lima jam berjuang dalam dewan bedah, tumor seberat 200 gram berjaya dibuang.

“Buat masa ini, Ainul sedang dipantau dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Amalina berkata, pembedahan itu membabitkan pelbagai persiapan seperti perancangan, imbasan dan mesyuarat sebelum dijalankan bagi memastikan Ainul Mardhiah selamat.

Katanya, ia turut membabitkan pasukan pakar bedah daripada pelbagai kepakaran termasuk craniofacial, plastik, kepala dan leher diketuai Prof David Dunway dan Dr Julian Ong.

“Mereka sangat berpengalaman dalam bidang masing-masing serta saya amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada mereka dan kini Ainul dalam pemerhatian juga keadaan stabil.

“Saya menyeru orang ramai mendoakan kesihatan Ainul supaya cepat sembuh,” tulisnya.

Pada 24 Mei lalu, Ainul Mardhiah bersama bapa, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan ibunya, Erwani Nurul Erwani Zaidi, terbang ke London bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sana.


Pengarang :