NASIONAL

Beli susu kambing dimasak elak bakteria Brucella

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 JUN: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli susu kambing yang tidak dimasak bagi mengelakkan jangkitan bakteria Brucella.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, susu mentah mengandungi bakteria Brucella amat merbahaya terhadap individu yang memiliki sistem imunisasi rendah seperti orang tua, wanita mengandung dan kanak-kanak.

“Beli susu kambing mentah yang telah dimasak sehingga mendidih terlebih dahulu kerana susu mentah yang mengandungi bakteria berkenaan amat berbahaya untuk orang yang mempunyai sistem imunisasi rendah seperti orang tua, wanita mengandung dan kanak-kanak.

“Sudah ada kes susu kambing dari ladang di Pulau Indah mengandungi bakteria Brucella, hati-hati,” tulisnya di laman media sosial facebooknya.

Sebelum ini Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata kepada media, lapan kes penyakit ‘brucellosis’ direkodkan selepas mengambil susu kambing di sebuah ladang ternakan kambing di Pulau Indah, Klang.

Katanya, hasil sampel diambil pihaknya di ladang ternakan di Pulau Indah itu mendapati susu kambing berkenaan mempunyai bakteria ‘brucella’ selain melanggar Seksyen 13(1) Akta Makanan 1983.


Pengarang :