EKONOMINASIONAL

NAFAS lulus dividen 8 peratus – Salahuddin

 

PETALING JAYA, 17 Jun : Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) meluluskan dividen sebanyak lapan peratus kepada 5,119 pelabur Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) di bawah Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun 2018.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata pengagihan dividen itu, yang naik sebanyak 0.7 peratus, melibatkan peruntukan sebanyak RM7.6 juta berbanding RM7.5 juta pada 2017 dilakukan serta-merta.

“DPK mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018 dan menetapkan polisi dividen diagihkan tidak melebihi kadar maksimum ditetapkan.

“Walaupun kadar dividen menurun daripada 10 peratus pada 2017 kepada 8 peratus pada 2018, DPK mampu memberikan pulangan kompetitif dan melebihi kadar inflasi secara konsisten,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri NAFAS di Tropicana Golf and Country Club hari ini.

Salahuddin berkata bagi meningkatkan daya tahan, DPK akan terus fokus kepada strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan, sekali gus memberi pulangan memberangsangkan kepada ahlinya pada masa akan datang.

DPK juga akan terus berusaha mempertingkatkan prestasi bagi mengukuhkan kedudukan dengan mempelbagaikan aktiviti pelaburan termasuk pelaburan berisiko rendah dan sederhana rendah selain menerokai produk pembiayaan baharu.

“Kita berharap dengan kepimpinan baharu selepas penggantungan NAFAS pada Jun 2018 sehingga Januari lepas serta usaha yang diambil, para pelabur akan berpeluang menikmati dividen yang lebih tinggi dan konsisten setiap tahun,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :