Selangorkini
SELANGOR

Gangguan bekalan air di Shah Alam, Klang pulih 24 jam

SHAH ALAM, 26 JUN: Gangguan bekalan air di 31 kawasan sekitar Shah Alam dan Klang sejak awal pagi tadi, akibat kebocoran paip utama berhampiran Dataran Automobil di Seksyen 15 di sini, akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 24 jam.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata ia susulan kerja pembaikan paip bersaiz 1,050mm telah siap dilakukan pada 7 malam tadi.

“Bekalan sistem utama telah diaktifkan bagi proses pemulihan berperingkat dan pihak kami menyasarkan pemulihan keseluruhan kawasan adalah dalam tempoh 24 jam.

“Bantuan lori-lori tangki air akan terus digerakkan di tiga Pusat Khidmat Setempat (PKS) iaitu di Taman Rakyat, Jalan Tun Dr. Ismail dan Bandar Parklands serta Kompleks Sukan Pandamaran di Klang, sehingga bekalan pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kerjasama pengguna sepanjang tempoh pemulihan itu amat dihargai dan pihak Air Selangor akan berusaha mempercepatkan proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas.

Abdul Raof berkata, sebarang pertanyaan dan maklumat terkini, pengguna boleh menghubungi Air Selangor di 15300 dan laman sesawang www.syabas.com.my.

Terdahulu, Air Selangor dalam kenyataan pagi tadi memaklumkan kebocoran paip utama itu telah mengakibatkan pengurangan air sebanyak 70 juta liter sehari ke Kolam Air Lipat Kajang.

Kebocoran paip tersebut dikesan berpunca daripada kerja-kerja pihak ketiga sehingga menyebabkan 99,454 pengguna terjejas.

– BERNAMA


Pengarang :