BERITA UTAMANASIONAL

Garis panduan ‘tinted’ bermula esok

 

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 19 JUN: Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan akan diguna pakai bermula esok.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, garis panduan itu merupakan rujukan kepada pihak industri dalam menghasilkan, memasarkan dan menjual sebelum peraturan mandatori dikuatkuasa mulai 1 Julai tahun hadapan.

Katanya, ia juga bagi mengelakkan produk yang dijual pada masa ini tidak berkualiti dan merupakan produk tiruan serta produk substandard.

“Garis panduan ini juga memberi keyakinan kepada pengguna dalam membeli produk penghadang haba yang selamat dan berkualiti.

“Bagi memastikan pengguna tidak tertipu, KPDNHEP mengambil inisiatif bagi memastikan filem penghadang haba yang dijual perlu mematuhi standard yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan garis panduan itu di Dewan Serbaguna KPDNHEP, di sini.

Saifuddin berkata, filem penghadang haba kenderaan yang sudah melalui proses pensijilan akan dilekatkan dengan label yang dilengkapi dengan kemudahan mesra pengesahan teknologi QR dan mempunyai ciri keselamatan dengan memaparkan logo ‘KPDNHEP’ dan ‘SIRIM’.

Katanya, maklumat label yang dilekatkan di setiap gulung filem itu boleh disemak melalui aplikasi mudah alih SIRIM QAS International.

“Melalui aplikasi itu, pengguna boleh menyemak status pensijilan, nama pemegang lesen, negara asal pembuatan, jenama, jenis dan kelas filem penghadang haba kenderaan.

“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi mudah alih SIRIM QAS International di aplikasi App Store dan Play Store,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, KPDNHEP menggesa kepada semua industri bekerjasama sepenuhnya dengan kementerian.

“Kita juga menasihatkan pengguna supaya membuat pilihan bijak dengan memilih produk yang mempunyai label pengesahan serta kod QR yang sah,” katanya.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, pengeluar, pengimport atau pembekal yang melekatkan label pengesahan tidak didaftarkan, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Jika bersabit kesalahan mereka boleh didenda RM100,000 bagi orang persendirian dan RM250,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi tiga tahun,” katanya.


Pengarang :