NASIONAL

JPJ keluarkan 145 saman dalam operasi khas motosikal

KAJANG, 10 JUN: Sebanyak 145 saman dikeluarkan dalam operasi khas motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Plaza Tol Batu 9, Cheras malam tadi.

Pengarahnya, Nazli Md Taib berkata, saman itu dikeluarkan terhadap 90 penunggang motosikal membabitkan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan yang dilakukan penunggang motosikal ialah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan teknikal.

“Selain itu, 10 motosikal disita atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai cukai jalan dan insurans tamat tempoh serta melakukan modifikasi terhadap kenderaan,” katanya kepada media.

Operasi khas itu dianggotai 68 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Nazli berkata, pemeriksaan AADK mendapati lima pengguna motosikal positif ujian air kencing dadah jenis syabu dan ganja manakala dua warga Indonesia turut ditahan pihak imigresen atas kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Operasi malam ini adalah siri keempat iaitu siri yang terakhir dalam operasi bersepadu khas motosikal sempena Aidilfitri, namun kami tetap akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa untuk mengesan pesalah trafik,” katanya.

Nazli berkata sepanjang empat siri operasi motosikal bermula 1 Jun lepas, sebanyak 4,219 motosikal diperiksa dan 706 saman dikeluarkan.

-BERNAMA


Pengarang :