NASIONAL

Kerajaan akan bantu tingkatkan hasil penanam padi

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 11 JUN: Kerajaan sedang memikirkan langkah terbaik untuk membantu meningkatkan hasil pendapatan penanam padi termasuk mempertimbangan prospek penanaman lain yang sesuai.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, banyak penanam padi hanya memperoleh hasil sekitar empat tan padi di atas tanah seluas satu ekar sedangkan mampu mengeluarkan lapan tan jika dilakukan mengikut kaedah yang betul.

Katanya, masalah ini penting untuk diselesaikan kerana penanam padi kini berdepan risiko kemiskinan susulan pendapatan hasil yang rendah.

“Kita perlu lihat perkara ini secara menyeluruh dan dalam masa sama kita perlu jaga keselamatan makanan.

“Keperluan sekarang adalah melihat kepada keselamatan makanan dan petani berdepan kemiskinan.

“Kita perlu menyelesaikan perkara ini dan mengenal pasti tempat (sesuai) untuk pembangunan hasil pendapatan mereka serta pada masa sama tidak membebankan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Pejabat Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-3 Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini.

Katanya, langkah lain yang akan turut ditumpukan termasuk teknik penanaman lebih efisyen supaya dapat meningkatkan hasil pengeluaran berbanding sebelum ini.

“Di Kedah, padi boleh ditanam dua kali setahun berbanding sekali sahaja di kawasan lain. Di Kedah misalnya ada tanaman lain seperti harum manis yang membantu meningkatkan pendapatan.

“Jika kita mampu menjana lebih pendapatan menerusi tanaman lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, mereka (petani) perlu memperuntukkan sedikit tanah mereka,” katanya

Dr Mahathir berkata, kerajaan memperuntukkan subsidi berjumlah RM1.8 bilion kepada 200,000 penanam padi setahun.

Dalam masa sama, negera turut mengimport makanan berjumlah USD60 bilion setahun dan jumlah itu perlu diturunkan sekurang-kurangnya sehingga USD30 bilion tanpa menjejaskan keselamatan makanan negara.

FOTO: FIKRI YUSOF ( SELANGORKINI)


Pengarang :