SEREMBAN, 13 Jun — Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (tengah) bersalaman dan bertanya khabar para penumpang bas pada lawatan kerjanya ke perhentian bas Terminal One Seremban, hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA.
NASIONAL

Kerajaan Negeri Sembilan dicadang naik taraf Terminal One

SEREMBAN, 13 JUN: Kerajaan Negeri Sembilan dicadangkan untuk menaik taraf terminal bas sedia ada dengan terminal baharu yang lebih moden dan canggih seperti yang terdapat di negeri lain bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang dalam rangka lawatan kerja ke Terminal One Seremban berkata bangunan yang berusia lebih 20 tahun itu sewajarnya dinaik taraf bagi membolehkan perkhidmatan yang lebih cekap dapat ditawarkan kepada pengguna.

“Sejak saya sekolah menengah lagi terminal ini sudah ada iaitu lebih 20 tahun dan memang keadaan di terminal ini tidak memuaskan kerana terminal ini sudah lama dan ia tidak dinaik taraf selama ini. Sudah sampai masanya kita perlu melihat bagaimana untuk menaik taraf terminal ini kepada sebuah terminal yang canggih dan moden seiring dengan perubahan masa.

“Ini adalah terminal untuk ibu negeri, Negeri Sembilan…kebanyakan negeri lain telah ada terminal bas yang moden dan baharu kecuali di Seremban belum ada. Jadi Terminal One ini dari segi lokasinya amat strategik dan saya tidak akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memindahkan terminal ini. Saya akan berbincang dengan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Seremban untuk melihat bagaimana boleh kita naik taraf terminal ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Azlan Shah Parames Albakri dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Loke berkata kerajaan menggalakkan kerja menaik taraf terminal berkenaan dilakukan dengan penglibatan pihak swasta dan tidak melibatkan dana pembangunan kerajaan.

“Di kebanyakan tempat lain, terminal-terminal yang moden dikendalikan oleh pihak swasta. Mereka perlu melabur untuk menaikkan infrastruktur dan kemudahan dan kita ada satu ‘framework’ (di mana mereka boleh mengutip bayaran daripada parkir bas dan kereta serta menjana pendapatan melalui penjualan tiket secara online.

“Ada pelbagai cara untuk mereka mendapat pendapatan, jadi ini merupakan satu galakan kepada pihak swasta untuk melabur dalam pembinaan dan menaik taraf terminal. Jadi saya rasa Terminal One Seremban ini perlu dinaik taraf memandangkan keadaan yang tidak memuaskan,” katanya.

Kementerian, kata Loke menerusi APAD akan memberikan kerjasama penuh untuk menambah baik dan menaik taraf terminal berkenaan.

“Ia adalah hasrat daripada Kementerian Pengangkutan nak melihat setiap terminal bas di setiap ibu negeri menjadi satu hab pengangkutan awam untuk memudahkan rakyat untuk berulang-alik. Bayangkan Terminal One ini dinaik taraf dan dia sudah ada ‘shopping mall’ (pusat beli-belah) berdekatan dan tengah pusat bandar dan ini boleh dijadikan satu pusat di mana ada lebih banyak aktiviti ekonomi boleh dijalankan terutama kepada peniaga kecil,” katanya.

Loke berkata terminal berkenaan bagaimanapun masih lagi boleh beroperasi namun terdapat permintaan tinggi daripada pengguna supaya ia dinaik taraf.

SEREMBAN, 13 Jun — Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (kanan) melihat carta komputer Pusat Arahan Kawalan MyBas Seremban, pada lawatan kerjanya ke perhentian bas Terminal One Seremban, hari ini.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Loke berkata operator bas ekspres di Terminal One Seremban turut disyaratkan oleh APAD untuk melakukan trip perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur sebanyak empat perjalanan khas untuk penumpang wanita pada waktu puncak dari pukul 5 hingga 7 pagi dan 5 hingga 7 petang, hari bekerja.

“Dia bukan sepanjang hari tapi pada waktu puncak sahaja. Ini untuk mudahkan penumpang wanita kerana ada yang tidak selesa jika ada penumpang lelaki. Jadi kita penuhi permintaan kepada penumpang wanita dan operator bas mesti menjalankan operasi untuk wanita sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Loke turut memberi amaran kepada operator bas ekspres supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan kadar tambang yang telah ditetapkan untuk laluan Seremban-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Seremban iaitu sebanyak RM6.50 sehala.

“Beberapa hari lepas saya dapat aduan daripada orang ramai yang bertanya kepada saya mengapa tambang dari Seremban ke Kuala Lumpur naik dari RM6 ke RM7 bermula 1 Jun lepas. Saya telah membuat pengesahan dengan pihak APAD bahawa tambang yang kita luluskan iaitu tambang siling maksimum RM6.50. Jadi peningkatan sehingga RM7 itu tidak sah.

“Jadi kita telah arahkan semua syarikat pengendali bas untuk menyelaraskan semula tambang mereka dan saya telah periksa dengan penumpang dan semalam mereka (operator bas) telah turunkan balik tambang kepada RM6.50. Kita akan sentiasa pantau dan ‘check’ (periksa) dan mana-mana syarikat yang tak patuhi peraturan kadar tambang itu, tindakan tegas akan diambil termasuk gantung lesen.”

Beliau turut menasihatkan penumpang yang mempunyai maklumat mengenai kenaikan kadar tambang melebihi kadar yang ditetapkan untuk membuat aduan kepada APAD.

-BERNAMA


Pengarang :