SELANGOR

MPSepang anjur Festival Kebudayaan & Warisan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEPANG, 26 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bakal menganjurkan Festival Kebudayaan dan Warisan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada 28 dan 29 Jun ini.

MPSepang dalam kenyataan memaklumkan, karnival yang diadakan bersempena Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS 2020) itu dijadualkan bermula dari 10 pagi hingga 5 petang.

“Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang dua hari karnival berlangsung antaranya pameran, persembahan tarian tradisional Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor, persembahan cempuling, persembahan Mahmeri serta permainan tradisional.

“Pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan tarian pelbagai kaum seperti Cina, India dan Bugis selain mengenali lebih dekat produk warisan Sepang,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dijangka hadir bagi merasmikan karnival berkenaan.

Karnival itu akan dihoskan pengacara program stesen televisyen NTV7, Aaron Al-Fateh selain menampilkan penyanyi irama tersohor tanah air, Noraniza Idris.


Pengarang :