SUKANKINI

Penembak elit harap lebih banyak kejohanan sebelum Sukan SEA 2019

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Penembak elit kebangsaan, Muhammad Ezuan Nasir Khan berharap lebih banyak kejohanan sirkit tempatan bakal diadakan, selepas Lapang Sasar Menembak Kebangsan di Subang yang ditutup sembilan bulan, kembali dibuka baru-baru ini.

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu yang lebih mesra dengan panggilan ‘Tulang’ dalam kalangan rakan sepasukan, mengakui kekurangan kejohanan sirkit tempatan, menyebabkan skuad negara tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak di Bukit Jalil yang lebih kecil.

Untuk rekod, lapang sasar di Subang mendapat lampu hijau daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kembali beroperasi, baru-baru ini, selepas ditutup sembilan bulan lepas ekoran kes jenayah.

“Harapan saya, persediaan kita lebih rapi, seperti pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila kita berpeluang menjalani latihan di luar negara bagi meningkatkan lagi prestasi kita.

“Bagi saya, amat penting lebih banyak kejohanan sirkit tempatan diadakan, memandangkan Sukan SEA 2019 tinggal beberapa bulan sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di Bangunan Majlis Sukan Negara, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Ezuan mengakui kekurangan kejohanan sirkit tempatan ketika ini menjejaskan perancangan barisan kejurulatihan negara, untuk menghantar atlet kebangsaan menyertai latihan dan kejohanan di luar negara.

“Kita perlu menyertai kejohanan antarabangsa yang bertindak sebagai medan pemanas badan sebelum menyertai kejohanan seperti Sukan SEA, dan bila kita pergi ke sana (Sukan SEA), kita rasa agak selesa dan tiada masalah untuk memberikan persembahan terbaik,” jelas Ezuan yang menyumbang satu emas untuk kontinjen negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ditanya mengenai persiapan raya, Muhammad Ezuan berkata beliau diberi cuti rehat seminggu untuk sambutan Hari Raya di Kampung Baru, di sini, dan kembali menjalani latihan seperti biasa sebelum menghadapi Kejohanan Menembak Terbuka Selangor yang bakal berlangsung di Lapang Sasar Subang dari 25 hingga 30 Jun ini

– BERNAMA

-Foto Kredit: Facebook Muhammad Ezuan

 

 


Pengarang :