BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Sharafuddin solat Aidilfitri bersama lebih 5,000 jemaah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong bersama kira-kira 5,000 jemaah sempena sambutan 1 Syawal.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya serta beberapa barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Baginda dan jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Pengurus Masjid, Luqman Al-Hakim Mohd Tamyes manakala Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid bertindak sebagai khatib.

Sementara itu, Mohd Tamyes ketika menyampaikan khutbah selepas solat sunat Aidilfitri bertajuk ‘Menghayati Kemeriahan Eidul Fitri’ berkata, hari kemeriahan yang dianugerahkan oleh Allah SWT adalah kerana umat Islam berjaya menjalani ibadah puasa Ramadan dengan sempurna.

Katanya, nikmat kemenangan yang dikurniakan Allah SWT perlu disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan

“Kegembiraan umat Islam bukanlah kegembiraan yang biasa, tetapi kegembiraan yang didahulukan dengan membesarkan Allah, melalui alunan takbir yang dilaungkan bermula malam tadi. Memuji dan membesarkan Allah kerana kejayaan melaksanakan ketaatan disepanjang Ramadan.

“Kemeriahan dan kegembiraan Eidul Fitri ini juga telah disebut dan dijanjikan oleh Rasulullah SAW bahawa orang berpuasa akan dianugerahkan kegembiraan ketika berbuka setelah selesai berpuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Tamyes mengingatkan kemeriahan dan kegembiraan Aidilfitri haruslah disambut dengan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah, sebaliknya jangan dicemari sambutan Hari Lebaran dengan sebarang perkara berbentuk maksiat.

“Jangan lenyapkan pahala puasa, tarawih dan tadarus di bulan Ramadhan dengan perbuatan keji dan mungkar di bulan Syawal.

“Kemeriahan ini juga hendaklah kita sambut dan rayakan dengan amalan-amalan mulia yang menjanjikan keredhaan Allah SWT

“Suburkankanlah budaya ziarah-menziarahi dan bermaafan sesama keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga untuk memperkukuhkan lagi hubungan silaturrahim dan persaudaraan Islam,” katanya.

Seusai khutbah Aidilfitri, baginda kemudian beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang bersalaman dengan baginda.


Pengarang :