NASIONAL

Tiba masa hubungan Afrika-Malaysia diberi nafas baharu

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Terdapat banyak bidang ekonomi dan komersil antara Malaysia dan Afrika yang berpotensi besar masih belum dipelopori dan dilaksanakan kedua-dua negara dengan lebih berkesan, kata Duta Mesir ke Malaysia, Gamal A. Metwally.

Beliau berkata, walaupun hubungan kedua-dua negara sangat baik di peringkat politik – berkongsi pandangan mengenai banyak isu antarabangsa dan serantau serta Kerjasama Selatan-Selatan – namun ia tidak sama dengan hubungan ekonomi.

Jelas Metwally, Afrika menjadi tumpuan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad pertama kali menjadi Perdana Menteri melalui penganjuran Dialog Antarabangsa Langkawi yang dihadiri banyak negara Afrika, tetapi kerajaan selepas itu dilihat tidak berminat meneruskan usaha itu.

Bercakap kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama sebagai mewakili Misi 21 Ketua-Ketua Afrika bersempena Hari Afrika baru-baru ini, Metwally berkata di bawah kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir sejak Mei 2018, terdapat “harapan baharu” yang memberikan gambaran hubungan Afrika-Malaysia akan terus berkembang.

Ujarnya negara Afrika mengharapkan hubungan yang lebih rapat dengan Malaysia sejak pentadbiran kerajaan baharu di bawah Dr Mahathir, menyaksikan ramai ketua misi Afrika telah mengadakan pertemuan dengan beliau baru-baru ini.

“Afrika amat dekat di hati Dr Mahathir. Saya percaya hubungan ini akan terus kukuh dalam semua aspek termasuk politik, ekonomi, budaya dan pelaburan.

“Berdasarkan pengalaman dengan Wisma Putra (Kementerian Luar Malaysia), kami merasakan mereka mahu memulakan satu lembaran baharu,” katanya.

Beliau percaya bahawa pembangunan yang digabungkan dengan hakikat bahawa Afrika adalah rantau paling pesat membangun dalam aspek Pelaburan Langsung Asing (FDI), akan menggalakkan lagi perniagaan Malaysia dan delegasi pelaburan untuk melawat benua terbabit pada 2020.

Menurut duta itu, negara Afrika mempunyai potensi besar bagi pelaburan dan perdagangan dalam bidang seperti pembangunan infrastruktur, perlombongan, minyak dan gas, pertanian dan produk pertanian, pembuatan, industri halal dan industri automotif.

“Benua Afrika juga mempunyai pasaran dagangan yang besar dengan kira-kira 1.3 bilion orang dan dijangka meningkat 1.7 bilion pada 2030,” ujarnya.

“Afrika boleh menerima masuk semua jenis produk bukan hanya dari Malaysia tetapi juga negara lain,” katanya sambil menambah terdapat keperluan membawa masuk barangan secara langsung antara Malaysia dan Afrika berbanding melalui negara ketiga.

Metwally berkata negara Afrika mempunyai kelebihan dalam sektor perniagaan dan pelaburan, seperti golongan muda yang berpendidikan – di mana 60 peratus penduduk terdiri belia, kos buruh lebih murah dan kaya dengan sumber semula jadi seperti rizab minyak dan gas, emas, coltan, berlian, besi, uranium, dan tembaga.

Jumlah dagangan antara Afrika dan Malaysia pada 2018 ialah kira-kira US$32 bilion, hanya mewakili kira-kira 1.7 peratus daripada keseluruhan perdagangan luar Malaysia.

Antara eksport Afrika ke Malaysia ialah minyak mentah, getah, makanan dan produk pertanian manakala eksport Malaysia ke Afrika pula seperti getah, minyak kelapa sawit, produk petrokimia, jentera, perabot, barangan elektrik dan elektronik serta makanan yang diproses.

Beliau berkata komuniti perniagaan Malaysia juga boleh mengintai peluang menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) yang dapat membantu memudahkan pelabur Malaysia dan Projek Koridor Utara-Selatan.

AfCFTA – kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia dari segi negara yang mengambil bahagian sejak penubuhan Pertubuhan Perdagangan Dunia pada 1995 – mula berkuat kuasa pada 30 Mei 2019 antara lain bertujuan mempercepat perdagangan intra-Afrika sambil meningkatkan kedudukan benua itu di pasaran dunia.

Projek koridor menghubungkan utara Kaherah dengan selatan Cape Town, membolehkan pengangkutan barangan dan perjalanan dilakukan lebih cekap, sekaligus membantu meningkatkan perdagangan dan mempercepatkan integrasi serantau. – BERNAMA


Pengarang :