NASIONAL

1,138 masih dirawat, tiada kes baharu dilaporkan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 JUL: Seramai 1,138 orang direkod secara kumulatif terjejas susulan kejadian sesak nafas di Pasir Gudang setakat 5 petang semalam dan sedang menjalani rawatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mengikut pecahan angka itu, seramai 1,093 orang dirawat sebagai pesakit luar manakala 45 orang dimasukkan dalam wad.

Bagaimanapun, katanya, tiada kes baharu dilaporkan setakat jam 5 petang semalam.

“Namun satu kes discaj (dibenarkan pulang) dari wad, dengan ini tiada kes berada dalam wad.

“Bagi kesemua kes dimasukkan ke dalam wad, tiada kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan tiada kematian dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataan sama turut menyebut, pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial menjalankan saringan kesihatan mental terhadap kesemua mangsa.

“Secara kumulatif, sehingga jam 5 petang semalam, sejumlah 723 orang awam (termasuk kanak-kanak) menerima khidmat bantuan awal psikososial (Psychosocial First Aid-PFA),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, secara keseluruhannya, pelajar didapati menunjukkan gejala susah bernafas dan rasa loya.

“Mereka merasa takut dan risau akan mengalami perkara sama seperti yang pernah dialami dahulu memandangkan gejala dialami pelajar ini dianggap reaksi normal oleh mereka yang telah melalui pengalaman trauma.

“Tetapi mereka dapat ditenangkan dengan baik oleh anggota kesihatan yang bertugas.

“Sejumlah 470 pelajar telah diberi intervensi psikososial dan daripada jumlah ini, seramai 231 dikesan mengalami gejala keresahan (anxiety).

“Daripada jumlah terbabit, hanya 22 pelajar daripada 11 sekolah dirujuk kepada pakar (pakar perubatan keluarga atau pakar psikiatri) bagi rawatan lanjut.

“Selebihnya diberikan intervensi kaunseling dan berdasarkan sejarah pendedahan, gejala, taburan sekolah dan penilaian psikososial, tiada kejadian mass psychogenic hysteria dikesan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih melakukan pemantauan di lapangan manakala orang ramai dinasihatkan mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

Katanya, pihaknya bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian berkenaan.


Pengarang :