AGENDANASIONAL

Azmin jelas sebab tidak hadir mesyuarat MPP

SHAH ALAM, 29 JULAI: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan ketiadaannya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ekoran tuntutan kerja.

Katanya, perkara itu juga sudah dimaklumkan kerana tugasnya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan ia adalah proses normal.

“Sebab (tidak hadir kerana) ada tugas. Kita sebagai pemimpin parti kerajaan ada tanggungjawab kepada kerajaan dan parti.

“Kita perlu membawa mandat ini secara bersama. Ada kalanya tugas kerajaan yang perlu kita laksanakan, itu juga tanggungjawab kita kerana beberapa pemimpin senior KEADILAN mempunyai jawatan dalam Kerajaan Pusat.

“Tanggungjawab parti pun kita kena tunaikan juga, kita perlu lakukan kedua-duanya,” katanya ketika ditemui di lobi Bangunan Annex sempena persidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut mempersoalkan segelintir pihak yang menyasarkan ‘serangan’ terhadapnya kerana tidak menghadiri mesyuarat berkenaan.

“Ada program parti saya hadir kalau tiada tugas kerajaan. Kalau ada (tugas) saya akan maklum. Itu proses normal. Kenapa sasarkan saya?” katanya.

Ketiadaan Mohamed Azmin menarik perhatian pelbagai pihak sejak sesi pemukiman KEADILAN yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.


Pengarang :