Selangorkini
NASIONAL

Bank Dunia iktiraf usaha Malaysia tingkat sektor telekomunikasi

PUTRAJAYA, 6 JUL: Usaha progresif Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan sektor telekomunikasi negara diiktiraf Bank Dunia dalam laporan terkininya “Malaysia Economic Monitor: Re-energising the Public Service,” yang diterbitkan pada 30 Jun tahun ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini berkata satu artikel dalam laporan itu bertajuk “Malaysia’s Need for Speed: How Regulatory Action Is Unleashing Ultrafast Internet” mengakui inisiatif yang diambil suruhanjaya dalam menyokong Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang menghasilkan slogan “Gandakan kelajuan pada separuh harga” sebagai garis panduan utama dalam memberikan perkhidmatan jalur lebar tetap yang mampu dilanggan dengan hubungan internet yang lebih pantas.

Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak berkata laporan Bank Dunia itu satu bukti kepada keberkesanan inisiatif, dasar dan tindakan yang dilaksanakan MCMC.

“Selaku pengawal selia industri komunikasi dan multimedia, sasaran kami adalah memastikan standard ketersambungan seluruh negara boleh memberikan nilai tambah kepada rakyat juga sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan mampan buat negara.

Pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) oleh MCMC dalam Oktober 2018 menghasilkan secara purata pengurangan 49 peratus pada harga jalur lebar berkelajuan tinggi,” kata kenyataan itu.

Sebelum pengurangan harga, MCMC berkata harga pakej permulaan daripada RM119 hingga RM129 untuk 10 megabit sesaat (Mbps) tetapi dengan MSAP, harga pakej permulaan daripada RM79 hingga RM89 untuk 30 Mbps.

Tambahan pula, bilangan langganan jalur lebar tetap dengan kelajuan muat turun lebih daripada 100 Mbps meningkat lapan kali ganda kepada 1.2 juta pelanggan dalam 2018, daripada 150,000 pada 2017, katanya.

Menurut MCMC lagi, dalam bentuk capaian, artikel Bank Dunia itu menggariskan Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk merapatkan jurang antara negara pendahulu dalam kelajuan internet.

Kelajuan purata jalur lebar tetap telah meningkat lebih tiga kali ganda dalam 17 bulan, dari 22.5 Mbps pada Januari 2018 kepada 68.5 Mbps pada Mei 2019, di atas purata global 59.6 Mbps.

Di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), MCMC telah merancang untuk mempertingkatkan kemampuan, kualiti dan akses kepada ketersambungan digital sebagai satu laluan kepada negara untuk membawa Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) yang mengandungi teknologi seperti kecerdasan buatan, robotik, data raya dan kejuruteraan maya, katanya lagi. – BERNAMA


Pengarang :