NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah, jejaki prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki prestasi Wall Street yang suram semasa ditutup pada Jumaat.

Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.16 mata kepada 1,677.37 daripada 1,682.53 semasa urus niaga ditutup pada Jumaat.

Semasa urus niaga dibuka, indeks turun 2.88 mata kepada 1,679.65.

Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 124 berbanding 108, manakala 193 kaunter tidak berubah, 1,422 tidak diniagakan dan 20 lagi digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 127.58 juta unit bernilai RM46.71 juta.

Public Investment Bank Bhd dalam nota berkata FBM KLCI dibuka lemah hari ini berikutan prestasi saham Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat kurang memberangsangkan selepas laporan gaji bulanan kerajaan menganggarkan ekonomi menambah 224,000 peluang pekerjaan pada Jun yang lebih baik daripada jangkaan, sekali gus mengurangkan kemungkinan pelbagai pemotongan kadar oleh Rizab Persekutuan pada akhir tahun ini.

Dow Jones Industrial Average turun 43.88 mata untuk ditutup pada 26,922.12 dan indeks S&P 500 turun 5.41 mata untuk ditutup pada 2,990.41.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing turun dua sen kepada RM8.95 dan RM5.35, Tenaga susut empat sen kepada RM13.56, Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM8.62 dan Public Bank tidak berubah pada RM23.

Bagi saham aktif, Sumatec Resources, Daya Materials dan Ekovest masing-masing merosot setengah sen kepada tiga sen, satu sen dan 86.5 sen, Green Packet dan Sapura Energy masing-masing kekal pada 39 sen dan 30 sen manakala PCCS Group menokok 2.5 sen kepada 62.5 sen.

Sementara itu, Kim Hin Joo (M) Bhd yang julung kalinya disenaraikan di Pasaran ACE, merosot 6.5 sen kepada 36.5 sen selepas dibuka empat sen lebih rendah daripada harga tawaran 43 sen.

Peruncit produk bayi, kanak-kanak dan ibu bersalin mencatatkan transaksi 8,861,800 saham pada waktu berita ini ditulis.

Indeks FBM Emas merosot 26.02 mata kepada 11,879.27 dan Indeks FBMT 100 turun 27.55 mata kepada 11,713.87.

Indeks FBM Emas Shariah turun 30.68 mata pada 12,243.66, FBM 70 susut 0.67 mata kepada 14,889.3 dan FBM Ace merosot 12.63 mata kepada 4,647.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 20.74 mata kepada 16,777.87, manakala Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian naik 0.06 mata kepada 162.58 dan Indeks Perladangan menokok 1.12 mata kepada 6,978.25.

-BERNAMA


Pengarang :