BERITA UTAMASELANGOR

Denggi: Selangor tegas kenakan tindakan saman – MB

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 6 JUL: Kerajaan Negeri mula mengenakan tindakan saman kepada pemilik premis tanah atau individu yang culas menjaga persekitaran sehingga menyebabkan penularan wabak Aedes di kawasan masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor adalah negeri yang sentiasa mencatatkan kumulatif kes denggi tertinggi disebabkan faktor populasi penduduk yang sangat padat.

Bagaimanapun, katanya, sebagai Kerajaan Negeri, ia tidak boleh selama-lamanya menjadikan hal itu sebagai alasan untuk Selangor sentiasa menjadi ‘juara’ dalam kes demam denggi.

“Sesuai arus pembangunan sama ada sosial atau fizikal kita menghadapi cabaran menangani wabak ini lebih lagi ia mencatatkan kumulatif kes tertinggi.

“Oleh itu, kita perlu menangani kerancakan ini dengan mengubah cara tindakan. Jika dahulu kita memulakan langkah kesedaran dan ganjaran namun, kita kali ini kita perlu mengambil tindakan lebih tegas.

“Langkah pencegahan dan kawalan pembiakan juga diubah dengan tidak lagi hanya mengharapkan tindakan semburan asap seperti 10 tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian di Karnival 3W (Women, Welfare, Wellness) Peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang bertemakan Hari Sifar Denggi Dan Hari Bapa, di Padang Awam Batu Caves, di sini.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri serius dan tidak sambil lewa dalam melaksanakan usaha pencegahan pembiakan nyamuk berkenaan.

“Kerajaan Negeri akan memberi fokus dalam setiap aspek bermula tahun ini sehingga tahun hadapan untuk melaksanakan pelbagai perancangan.

“Kawasan rumah-rumah ibadat dan lokasi awam lain juga akan dititik berat dalam penguatkuasaan dan pemantauan,” katanya.

Untuk rekod, situasi denggi di Selangor meningkat selepas Hari Raya Aidilfitri lalu (29 Jun) iaitu sebanyak 35,544 kes berdaftar dengan mencatatkan 30 kematian berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu kira-kira 18,249 kes.

Ia menunjukkan peningkatan 17,295 kes iaitu 94.77 peratus.


Pengarang :