AGENDA NASIONAL

Gesaan PAS bubar parlimen satu lawak jenaka – Husam

KOTA BHARU, 20 JUL : Pakatan Harapan (PH) Kelantan hari ini menyifatkan gesaan PAS supaya Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung lebih awal sebagai lawak jenaka.

Pengerusi PH Kelantan Datuk Husam Musa berkata PRU14 baharu sahaja berlalu setahun yang lepas dan pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun baharu sahaja diluluskan di Parlimen.

“Gesaan (Timbalan Presiden PAS Datuk) Tuan Ibrahim (Tuan Man) itu lawak jenaka dan tiada benda lain nak cakap. Jadi kita cadangkan kerajaan Kelantan dan Terengganu (pimpinan PAS) perlu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu jika mereka mahukan pilihan raya secepat mungkin.

“Kita akan lihat jika PAS boleh menang besar, baharu kita bubar Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepakat @ Komuniti dan Sambutan Setahun Malaysia Baharu peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sering di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Kelantan Lim Ann Teck (he) dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Abu Hanipah @ Fauzi Zahari dan Pengetua SMK Sering Mohd Saudi Abd Rahman.

Semalam, Tuan Ibrahim dilaporkan sebagai menggesa PH membubarkan segera Parlimen kerana terbukti gagal memastikan kestabilan politik dan keharmonian dalam negara.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan ‘tiada selera’ untuk menerima pelawaan PH bagi menyertai mereka, Husam yang juga Naib Presiden Amanah berkata parti itu perlu ‘makan supplement dan vitamin’.

“Kadang-kadang kita tidak berapa sihat, jadi memang kurang selera. Saya harap PAS lebih banyak makan ‘supplement’ dan vitamin supaya selera terbuka,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :