ADNSELANGOR

Kanak-kanak terdedah ancaman siber

KLANG, 26 JUL : Kanak-kanak perlu diberikan maklumat tentang kesan buruk penggunaan internet tanpa batas bagi mengelakkan diri mereka daripada terjebak gejala sosial.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, ini kerana kajian mendapati kanak-kanak yang terdedah dengan internet untuk tempoh satu hingga empat jam setiap hari berdepan dengan pelbagai ancaman siber.

“Kajian mendedahkan kanak-kanak menggunakan internet untuk tempoh satu hingga empat jam setiap hari mengakibatkan risiko berdepan dengan tiga ancaman siber iaitu buli siber, pengaruh media sosial dan jenayah siber,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Komik Hormat Wanita Kak Nam di Sekolah Kebangsaan Sementa di sini, hari ini.

Sementara itu, pada majlis sama, Daroyah berkata, komik yang dilancarkan hari ini akan diedarkan kepada kanak-kanak di seluruh Selangor.

“Komik ini dicetak kira-kira 30,000 naskhah dan diedarkan di seluruh Selangor bagi memberi kesedaran kepada anak-anak, khasnya kanak-kanak perempuan,” katanya.

Watak Kak Nam yang diangkat dalam komik ini digambarkan sebagai seorang adiwira wanita bagi mempertahankan hak dan maruah wanita dengan memberi kesedaran kepada masyarakat termasuk golongan kanak-kanak.


Pengarang :