AGENDANASIONAL

Kertas siasatan kesalahan TNB kini di Jabatan Peguam Negara

BANGI, 23 JULAI: Kertas siasatan berhubung kesalahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam insiden bil pengguna melambung, sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk maklum balas, kata Yeo Bee Yin.

“Kertas siasatan sudah disiapkan dua minggu selepas insiden kenaikan bil pengguna TNB berlaku,” kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu selepas melancarkan Low Carbon Cities 2030 Challenge di Greentech Malaysia, di sini hari ini.

Pada Mei lalu, sebahagian pengguna TNB mengadu bil elektrik masing-masing melambung berlipat kali ganda berbanding jumlah yang lazim dibayar setiap bulan.

Susulan itu, Bee Yin dilaporkan berkata, TNB ada melakukan kesalahan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 dan akan dikenakan penalti oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

TNB pada 31 Mei juga mengakui berlaku gangguan dalam sistem pengebilan mereka yang menyebabkan segelintir pengguna menerima bil tinggi.

Ditanya jumlah penalti yang bakal dikenakan ke atas TNB, Bee Yin berkata: “Kita (kementerian) hendakkan (penalti) tinggi. Tengoklah macam mana.”

-BERNAMA


Pengarang :