EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

SIIAF 2019 jenama menarik pelancongan Selangor

SHAH ALAM, 23 JUL: Tourism Selangor dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bakal menganjurkan Selangor International Indigenous Arts Festival (SIIAF) 2019 di Taman Botani Negara di sini, pada 3 dan 4 Ogos ini.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, edisi tahun ini kembali dengan skala lebih besar dan dijangka mampu menarik sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung dari Selangor serta pelancong luar negara.

Katanya, SIIAF 2019 adalah salah satu inisiatif untuk mengetengahkan dan memelihara permata Selangor iaitu kaum Orang Asal yang masih mengekalkan ciri-ciri kesenian serta kebudayaan asli mereka walaupun pada era teknologi moden masa kini.

“SIIAF 2019 adalah antara medan terbaik untuk menjenamakan Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan berasaskan kebudayaan pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Menerusi acara SIIAF ini pengunjung dapat mengenali lebih dekat kebudayaan dan kesenian unik kaum Orang Asal yang tidak banyak diketengahkan kepada umum dan semakin tersisih dek arus pemodenan yang pesat.

“Acara yang sudah masuk edisi kelima penganjurannya ini sering kali menarik perhatian media asing kerana keunikan temanya berjaya mengangkat khazanah warisan negara terutama dari Selangor,” katanya pada sidang media Acara SIIAF 2019 di Acapella Suites and Hotel di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, acara berlangsung selama dua hari itu dilaksanakan bersempena Hari Antarabangsa Orang Asal Dunia yang jatuh pada Ogos setiap tahun.

Abdul Rashid berkata, SIIAF 2019 akan mempamerkan khazanah warisan kaum Orang Asal melalui persembahan tarian kebudayaan tradisional yang dipersembahkan khas kaum Mah Meri dan Temuan dari Selangor, Semai dari Perak, Seletar dari Johor juga Borneo dari Sabah serta Sarawak.

“Menariknya, acara tahun ini turut disertai Orang Asal dari Comoros Island, Africa, Papua New Guinea, Korea Selatan, Chinese Taipei, Indonesia dan Sri Lanka.

“Pengunjung yang hadir juga berpeluang mempelajari dan melihat dengan lebih dekat berkenaan adat, budaya, pakaian tradisional, karya seni, kraf serta bahasa kaum Orang Asal luar negara,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :