AGENDANASIONAL

Malaysia, Filipina meterai MoU penjagaan kesihatan

KUALA LUMPUR, 31 JUL : Malaysia dan Filipina bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang penjagaan kesihatan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata MoU itu ditandatangani oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Jabatan Kesihatan Filipina, Dr Francisco T.Duque III, semasa mesyuarat dua hala di Putrajaya, untuk membincangkan usaha mengukuhkan hubungan dua hala melalui kerjasama penjagaan kesihatan.

Di bawah MOU, Malaysia dan Filipina bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan utama; kesihatan reproduktif; pendidikan kesihatan; sumber manusia untuk pembangunan kesihatan; pemakanan; dan pertukaran maklumat mengenai isu-isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan.

Kedua-dua negara juga akan bekerjasama dalam pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit; kawalan kawal selia farmaseutikal; ubat tradisional, ubat herba, suplemen kesihatan dan produk kosmetik; peralatan perubatan; pelancongan kesihatan; penyelidikan kesihatan; dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Kumpulan Kerja Teknikal Bersama diketuai oleh para pegawai yang dilantik dari kementerian kesihatan kedua-dua negara akan melaksanakan MoU tersebut.

“Kedua-dua Menteri Kesehatan menekankan pentingnya meningkatkan kerjasama untuk menangani masalah kesihatan rentas sempadan di tengah persekitaran global yang pesat berubah.

“Kerjasama kesihatan antara negara-negara jiran adalah penting untuk cepat bertindak balas terhadap ancaman kesihatan awam dan mencegah risiko kesihatan yang lebih besar termasuk wabak dan daya tahan mikrob,” kata kedua-dua mereka dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini.

Kedua-dua Menteri Kesihatan juga melahirkan harapan mereka bahawa hasil mesyuarat akan memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam pengurusan isu rentas sempadan berkaitan kesihatan kedua-dua negara dan pelbagai pihak berkepentingan. -BERNAMA


Pengarang :