SEPANG, 3 Julai — Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohammadin Ketapi (tiga, kiri) pada majlis menyambut ketibaan pertama pesawat Air Arabia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Arabia Adel Abdullah (tiga, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Raja Azmi Raja Nazuddin (dua, kiri), Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof (dua, kanan), Ketua Konsulat Malaysia di Dubai Mohd Hasril Abdul Hamid (kanan) dan Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islamik (ITC), Datuk Seri Abdul Khani Daud (kiri). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Malaysia sasar lebih ramai pelancong dari Asia

SEPANG, 3 JULAI: Malaysia menyaksikan 337,100 pelancong dari Asia Barat tahun ini susulan pelancaran pernerbangan harian oleh Air Arabia antara Sharjah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Kuala Lumpur.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Mohamaddin Ketapi, yang menyambut ketibaan penerbangan sulung itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini, berkata pasaran Asia Barat merupakan pasaran penting bagi Malaysia.

Seramai 315,937 pelancong dari negara di Asia Barat melawat Malaysia tahun lalu, katanya.

Mohamaddin berkata perkhidmatan laluan Sharjah-Kuala Lumpur oleh Air Arabia akan membantu meningkatkan jumlah pelancong dari Sharjah serta dari Iraq, Mesir dan pasaran Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Saya berharap pengendali industri pelancongan dan pengembaraan di Asia Barat dan Malaysia mengambil peluang daripada sambungan penerbangan baharu ini untuk menyediakan pakej pelancongan yang menarik untuk menggalakkan aliran pelancong antara kedua-dua kawasan,” katanya.

Penerbangan tujuh jam itu, yang beroperasi setiap hari dengan muatan 215 tempat duduk, merupakan penerbangan terus pertama oleh syarikat penerbangan kos rendah yang menghubungkan Malaysia dengan wilayah GCC.

Air Arabia, syarikat penerbangan kos rendah Timur Tengah dan Afrika Utara itu menggunakan Airbus A321 LR Neo baharunya ke Kuala Lumpur, dan kini mengurus perkhidmatan di lebih 170 laluan antarabangsa dan domestik dari habnya di UAE, Maghribi dan Mesir.

-BERNAMA


Pengarang :