PUTRAJAYA, 28 Julai — Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (dua, kanan) yang juga penaung Kempen Selamatkan Harimau Malaya bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) melihat lukisan berupa Harimau Malaya ketika melawat ruang pameran sempena majlis sambutan Hari Harimau Sedunia hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDA NASIONAL

Tun Hasmah namakan tiga anak harimau di zoo negara

PUTRAJAYA, 28 JUL: Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menamakan tiga ekor anak harimau yang dilahirkan di Zoo Negara pada majlis sambutan Hari Harimau Sedunia, hari ini.

Beliau, yang juga penaung Kempen Selamatkan Harimau Malaya, menamakan dua ekor anak harimau jantan dengan nama Wira dan Hebat.

“Sementara anak harimau betina, saya namakan Melur,” katanya dalam ucapannya pada majlis itu hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Dr Siti Hasmah, yang tiba dari Turki pagi ini selepas mengiringi lawatan kerja Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke sana, berkata beliau pernah berhasrat untuk memeluk ketiga-tiga anak harimau yang lahir di Zoo Negara, pada 1 Mei lalu.

“Tapi apabila saya pergi ke Zoo Negara minggu lepas semuanya sudah kaki besar dan berusia tiga bulan. Saya tidak boleh peluk dia, tengok saja saya dia mengaum,” katanya lagi.

Ketiga-tiga anak harimau itu adalah anak kepada harimau jantan bernama Jati dan harimau betina bernama Kaila, yang ditempatkan di Zoo Negara.

Dr Siti Hasmah turut berkongsi pengalaman detik paling dekat beliau bersama harimau.

“I always want to face a tiger. The closest was at The Lost World of Tambun where I managed to get the feel of a young tiger licking my palm when I feed it with a slice of chicken.

(“Saya selalu ingin mendekati seekor harimau. Yang paling hampir berlaku di Lost World of Tambun di mana saya dapat merasai seekor anak harimau menjilat tapak tangan apabila saya memberi dia makan sekeping ayam).

“It was such a thrill. I could feel the tongue,” she further said.

(Ia sungguh menyeronokkan. Saya dapat rasakan lidahnya,” katanya lagi).

Dalam ucapan yang sama Dr Siti Hasmah mahukan semua pihak berganding bahu dalam memastikan populasi Harimau Malaya, yang kini dianggarkan 200 ekor, boleh ditingkatkan kepada 500 ekor pada masa akan datang.

Berdasarkan data Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada 1950-an terdapat lebih 3,000 Harimau Malaya di negara ini.

Jelas beliau, Harimau Malaya perlu dipelihara dan tidak boleh dibiarkan pupus kerana haiwan itu menjadi lambang negara kerana terdapat di jata negara yang melambangkan kekuatan.

Pada majlis itu Dr Siti Hasmah turut menerima sumbangan RM1.33 juta daripada syarikat swasta, badan bukan kerajaan, universiti dan sekolah termasuk Yayasan Al-Bukhary dan warga kementerian untuk melaksanakan inisiatif konservasi Harimau Malaya.

Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara spiesies harimau.

Pada majlis itu, satu video menunjukkan dua kumpulan Harimau Malaya iaitu seekor ibu dan anak dan seekor lagi ibu bersama tiga anak dipertonton kepada para hadirin.

Difahamkan video berkenaan dirakamkan kamera Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitian) di sebuah taman negara di Semenanjung.

Lokasi taman negara itu terpaksa dirahsiakan bagi menyelamatkan kesemua harimau berkenaan daripada pemburu haram.

– BERNAMA


Pengarang :