BERITA UTAMA

‘Meremajakan’ LTAAS langkah kukuh industri aeroangkasa

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Kerajaan Negeri kini sedang rancak mengadakan perbincangan bersama pemegang taruh dan Invest Selangor bagi meremajakan kembali Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAAS) untuk memperkukuhkan lagi industri aeroangkasa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, nafas baharu itu bagi membolehkan LTAAS yang juga lokasi utama industri aeroangksa mampu berdaya saing serta diketengahkan sebagai pusat tarikan aktiviti baharu di Subang.

“Ketika ini Selangor dalam peringkat akhir perbincangan dengan Airbus, perintis antarabangsa dalam sektor aeroangkasa untuk meningkatkan fasilitinya di Subang dan pengumuman berhubung projek itu akan dilaksanakan sebelum pembentangan belanjawan negeri.

“Kami juga mahu membabitkan penyertaan syarikat milik Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor untuk menyemak serta meneliti banyak perkara dengan Airbus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Forum ‘Selangor: Regional Powerhouse’ di Hotel Hilton, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman; EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Pada April lalu, Airbus Helicopters dilapor mengembangkan kedudukannya di Malaysia dengan menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan di fasilitinya di Subang, menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi perkhidmatan helikopter, sokongan pelanggan dan latihan.

Ini termasuk membuka pusat penyerahan dan penyiapan helikopter baharu, penyepaduan semua perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan berat di Asia Tenggara bagi fasiliti itu, selain tambahan simulator latihan penerbangan kedua.

SelangorKini sebelum ini turut melaporkan, Kerajaan Negeri sedang mengintai peluang terbaik untuk menarik pelaburan dalam perkhidmatan pemotongan pesawat.

Perbincangan sedang dilakukan dengan pengeluar pesawat Eropah, Airbus untuk mewujudkan kemudahan itu di negeri ini, dan jika membuahkan hasil, Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memberi perkhidmatan terbabit.


Pengarang :