PBTSELANGOR

MPSJ perkenal permohonan permit Kerja-Kerja Kecil Bangunan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 JUL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memperkenalkan permit Kerja-Kerja Kecil Bangunan bagi kerja pengubahsuaian kecil di bangunan sekitar pentadbiran pihak berkuasa tempatan terbabit, bermula hari ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, permit berkenaan merangkumi semua kategori bangunan kediaman, komersial dan industri bertujuan mengawal pengurusan sisa binaan.

“Kerja-kerja kecil terbabit adalah penukaran kemasan lantai/dinding (tiling work), pemasangan in-situ ‘grill’ pintu/ tingkap, membina ‘table top’ dan kabinet dapur, memasang atau mengganti siling lepa serta mengubahsuai aksesori sanitari.

“Ia termasuk membina kolam ikan tidak melebihi kedalaman 0.5 meter, membina pergola/kolam ikan/rumah haiwan/rumah ibadat/pondok atau rumah hijau yang tidak melebihi satu meter persegi atau apa-apa kerja ubahsuai yang tidak membabitkan perubahan struktur,” katanya dalam kenyataan.

Pemilik bangunan boleh memohon permit terbabit yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang MPSJ tanpa menggunakan khidmat konsultan arkitek atau jurutera.

Kadar fi permit adalah RM100 manakala cagaran sisa binaan sebanyak RM250.

 


Pengarang :