SELANGOR

PHSB santuni 275 asnaf, nelayan Kampung Sawah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LANGAT, 7 JUL: Pengurusan parkir kereta di bawah PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Park Here Sdn Bhd (PHSB) menyantuni 275 asnaf dan nelayan sekitar Kampung Sawah sempena Rewang Raya Bersama Asnaf, di sini, semalam.

Pengurus Kanan PHSB, Mohd Ardisham Mohamad Shahir berkata, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu dijalankan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Masjid Al-Islah menerusi pemberian sumbangan berjumlah RM22,700.

“Sumbangan wang agihan asnaf zakat ini diberikan kepada golongan asnaf dan miskin selain tiga buah keluarga terdiri daripada fakir, miskin dan gharimin (bantuan keperluan perubatan).

“Penerima sumbangan yang terpilih adalah dari kariah Kampung Sawah, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Bandar yang menjadi lokasi saranan daripada pihak PHSB dengan kerjasama LZS pada tahun ini,” katanya kepada SelangorKini.

 

Pada masa sama, beliau berkata, selaku penerima wakalah agihan LZS, pihaknya perlu melaksanakan tanggungjawab sebaiknya dengan mengagihkan semula kepada mereka yang benar-benar memerlukan selain dapat merapatkan ukhuwah sesama muslim.

“Syarikat mengharapkan supaya program murni ini dapat memberikan motivasi kepada semua kakitangan untuk lebih menghargai semua insan yang kurang bernasib baik di sekeliling kita seterusnya menghargai khidmat bakti yang dilakukan oleh syarikat kepada pihak terbabit.

“Dengan komitman tinggi ini, PHSB mengharapkan lebih banyak sumbangan dan agihan dapat diperuntukan dalam usaha syarikat memperluaskan program CSR seperti program Kasihku bersama LZS,” katanya.

Antara pengisian dijalankan dalam program yang bermula seawal jam 7 pagi itu adalah aktiviti menyembelih dan melapah lembu di Masjid Al-Islah seterusnya bergotong-royong serta memasak nasi beriani selain juadah hari raya seperti lemang, ketupat, rendang juga kuah kacang.

Perasmian program dimulakan pada ‪9‬ malam dan berakhir pada ‪11‬ malam itu turut diisi dengan jamuan serta sesi penyerahan sumbangan kepada penerima.

Hadir sama, Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya, Tengku Dato’ Mohamed Al Haj Tengku Harun; Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Kampung Sawah merangkap Penasihat Masjid Al-Islah Kampung Sawah, Mohd Zin Ihsan.

Difahamkan sehingga kini, PHSB menguruskan operasi di tujuh Tempat Letak Kenderaan (TLK) dalam kawasan Lembah Kelang selain memiliki perkhidmatan tiga tapak valet.

Malah, PHSB turut menceburi perniagaan penjagaan dan cuci kenderaan, penyediaan ruang dan iklan serta pembekalan peralatan dan sistem parkir.


Pengarang :