NASIONAL

Projek rintis AADK di 12 kawasan risiko tinggi masalah dadah

PUTRAJAYA, 10 JUL: Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang hari ini bersetuju melaksanakan projek rintis Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menangani masalah penagihan dadah dan pelencongan sosial di 12 kawasan di tujuh negeri.

Dua belas kawasan itu ialah Langkawi, FELDA Lubuk Merbau dan Kuala Kedah di Kedah; Flat Sri Mentari Petaling, Sungai Besar Sabak Bernam dan FELDA Gugusan Hulu Selangor di Selangor; Johor Bahru (Perling/Tampoi/Skudai) dan Parit Sulong Batu Pahat di Johor.

Pengkalan Chepa di Kelantan; Kuala Dungun (Terengganu); PPR Sungai Bonus (Kuala Lumpur); dan FELDA Keratong 3 (Pahang).

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata kawasan projek rintis itu terletak dalam kawasan berisiko tinggi dan sejajar dengan usaha menangani penagihan dadah dan pelencongan sosial yang dijalankan secara bersepadu.

“Projek yang dijalankan akan dijadikan model untuk diperluaskan di seluruh negara sejajar dengan matlamat Dasar Dadah Negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat yang dipengerusikannya hari ini.

Muhyiddin berkata mesyuarat juga bersetuju satu jawatankuasa kerja diwujudkan untuk merangka kempen mencegah penyalahgunaan dadah yang akan diterajui oleh AADK melibatkan semua peringkat termasuk kerajaan negeri.

Mesyuarat hari ini turut bersetuju kesalahan berkaitan penagihan dadah dikeluarkan daripada didaftarkan dalam Senarai Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini seperti yang terkandung dalam Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7), katanya.

Turut dipersetujui ialah cadangan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 termasuk mendefinasi semula penagih dan pengguna dadah, menyemak semula kuasa Ketua Pengarah AADK berhubung pengendalian Pusat Pemulihan Penagihan Dadah Persendirian (PPDP).

Mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan pewujudan kluster banduan penagih dadah di 14 institusi penjara dengan 19 blok penempatan melibatkan kapasiti seramai 9,500 banduan penagih dadah pada satu-satu masa daripada kes sabitan Seksyen 15(1), Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membabitkan kos kira-kira RM285 juta.

Muhyiddin berkata kerajaan memandang serius berhubung isu penyalahgunaan dadah dan menyedari tentang kekangan AADK daripada segi fasiliti dan kekurangan tenaga kerja dalam memberi perkhidmatan kepada klien.

“Ini berdasarkan ratio yang amat tinggi berhubung nisbah bilangan Pegawai Antidadah berbanding klien dalam komuniti iaitu 1:200 berbanding 1:25 mengikut Piawaian Antarabangsa. Perkara ini akan diberi perhatian oleh pihak kementerian,”katanya.

-BERNAMA


Pengarang :