BERITA UTAMA

‘Regional Powerhouse’ bukti Selangor masa depan Malaysia

SHAH ALAM, 18 JULAI: Forum Selangor ‘Regional Powerhouse’ yang akan diadakan pada 23 Julai ini, disifatkan landasan terbaik dalam menjadikan negeri ini sebagai hab yang membawa seluruh dunia ke rantau ASEAN.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dunia ketika ini berubah pada kadar luar biasa, justeru Kerajaan Negeri perlu bersedia membuat pelbagai perancangan rapi khususnya ke arah agenda Smart Selangor.

“Jika kita tidak bersedia, kita akan ditinggalkan. Itulah sebabnya penting untuk menjangkakan apa cabaran yang berlaku dan merancang bagaimana untuk mengatasinya.

“Selangor adalah Malaysia. Dengan belajar dari yang terbaik, kami adalah masa depan Malaysia. Kami memimpin untuk membantu membawa negara ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan dikeluarkan oPemerbadanan Menteri Besar (MBI) kepada SelangorKini.

Amirudin berkata, forum yang menampilkan pakar dari pelbagai bidang itu akan membincangkan bagaimana menjadikan Selangor cemerlang dalam pelbagai bidang utama selain mengekalkan kejayaan akan datang.

“Selepas ini, kita akan melangkaui Malaysia, kepada jiran kita, supaya kita boleh belajar dan bekerjasama bersama.

“Pertanian, logistik, pengangkutan dan teknologi adalah industri yang baik dan penting di Selangor. Kita juga mempunyai jiran yang sangat baik dalam industri ini. Oleh itu, kita mahu memahami bagaimana untuk menjadi lebih cemerlang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, ketika ini hasrat menjadikan Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025 adalah langkah penting, sekali gus terus komited mencapainya.

“Langkah terpenting kita adalah membuktikan Selangor masa depan Malaysia. Salah satu matlamat kita ialah menjelang 2025, kita mahu Selangor menjadi Negeri Pintar yang utama, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di rantau ASEAN.

“Tetapi apa yang akan kita lakukan selepas itu? Kita tidak boleh duduk di atas kejayaan kita. Adalah penting bahawa Selangor dapat mengekalkan pencapaian ini 50 tahun akan datang,” katanya.

Forum berkenaan yang akan diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur bakal menampilkan Amirudin sebagai perasmi dan panel utama untuk berkongsi pemikiran serta wawasannya dalam isu itu.

Beliau juga akan mengambil bahagian dalam sesi ‘high level plenary’ bersama Ketua Pegawai Eksekutif HSBC, Stuart Milne; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin.

Selain itu, Pengerusi Westports Holdings Bhd, Tan Sri Datuk G. Gnanalingam dan Ketua Pegawai Operasi Zalora, Rostin Javadi.


Pengarang :