BERITA UTAMA

RMS berkenan lawat Tapak Warisan Batu Arang

SHAH ALAM, 18 JUL : Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli melawat Tapak Warisan Batu Arang hari ini dalam siri Program Jelajah siri kedua daerah Gombak selepas Kuala Langat, sebelum ini.

Mengikut sejarah, tapak warisan itu dahulunya sinonim dengan aktiviti perlombongan arang batu yang diusahakan Malayan Collieries Ltd sekitar tahun 1913, lalu.

Baginda turut berkesempatan meluangkan masa hampir 15 minit dengan masuk ke dalam lombong korek terbabit bagi melihat dan merasai sendiri suasana di dalam lombong yang pernah terkenal pada suatu masa dahulu.

Seterusnya, baginda berkenan melawat ke ‘The White House’ iaitu bangunan tinggalan tentera British yang kini dijadikan sebagai pusat khidmat Katolik atau dikenali sebagai ‘Home Welcome Community’.

Pada masa sama, baginda turut naik ke atas bangunan itu bagi melihat pemandangan petang.

Difahamkan, jelajah selama tiga hari sejak semalam itu bertujuan untuk mendekati rakyat Selangor dengan mengadakan lawatan mesra ke destinasi menarik di setiap daerah negeri ini.

Semalam, baginda berkenan mengadakan lawatan ke Kebun Komuniti AU, Keramat dengan melakukan aktiviti tabur anak ikan keli, bercucuk tanam dan mengacau dodol.

Menariknya, baginda berkenan menunggang motosikal jenis Vespa untuk menerokai sekitar Kampung Kerdas, Gombak.

Selain itu, baginda berkenan meluangkan masa sekitar 30 minit untuk mendaki 272 anak tangga Batu Caves bagi melihat suasana dan keindahan tempat terbabit.

Manakala, pada lawatan hari ini, baginda memulakan aktiviti dengan melawat Institut Kraftangan Negara dan terokai Rawang ByPass.

Baginda turut mencemar duli melawat ke Kampung Orang Asli Ulu Kuang dan melakukan pelbagai aktiviti santai bersama Orang Asal di sini.

Seterusnya, jelajah itu akan diakhiri dengan lawatan ke Kilang Perindustrain Adabi, Rawang; Putu Bambu World Factory dan solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Amaniah, Selayang.

Jelajah tiga hari itu turut disertai Orang-orang Besar Istana yang terdiri daripada Tengku Indera Bijaya Diraja Tengku Salahuddin Shah Alhaj Tengku Sulaiman Shah Alhaj dan Tengku Seri Perkasa Diraja Tengku Musahiddin Shah Tengku Abdul Samad Shah Alhaj.

Hadir sama, Engku Panglima Setia Diraja Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Alhaj Syed Anwar Jamalullail; Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Alhaj dan Tengku Saifan Rafhan Putra Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj.


Pengarang :