ADN

Rodziah kesal individu curi pam air kecemasan

SHAH ALAM, 17 JULAU: Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail kesal dengan perbuatan individu yang mencuri pam air kecemasan di Sungai Rasah hingga menyebabkan banjir, baru-baru ini.

Dalam status dimuat naik di Facebook, beliau turut menyatakan kesediaan membantu jika individu terbabit mengalami kesempitan kewangan sehingga mengambil jalan melakukan jenayah.

“Saya dimaklumkan bahawa kawasan Sungai Rasah banjir. Biasanya hujan tidak pula banjir, siasat punya siasat, rupanya pam yang Jabatan Parit dan Saliran letak untuk pam air semasa kecemasan dicuri. Tolonglah siapa yang punya kerja.

“Ini harta kerajaan yang dibeli dengan duit rakyat untuk kepentingan dan keselesaan rakyat. Kenapalah dicuri. Jika betul tiada duit, banyak cara untuk kami bantu. Janganlah buat kerja yang menyusahkan banyak pihak,” keluhnya.

Rodziah turut melahirkan rasa simpati kepada penduduk Sungai Rasah ekoran kejadian yang menjejaskan kawasan kediaman mereka.

Sehingga berita ini ditulis, SelangorKini sedang cuba menghubungi Rodziah bagi mengetahui status terkini isu terbabit.

 


Pengarang :