SUKANUN yang berlangsung pada 19 hingga 26 Julai ini bertujuan merapatkan hubungan antara semua agensi ahli Persatuan Badan Berkanun Malaysia. -foto HAFIZ OTHMAN (SelangorKini)
BERITA UTAMA

SUKANUN 2019: Ketengah bakat atlet ke peringkat lebih tinggi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 JULAI: Karnival Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) menjadi landasan terbaik untuk kakitangan dan ahli Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM) menilai bakat bagi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dengan semangat kesukanan yang tinggi, ia juga akan menjadi asas bagi meningkatkan keharmonian dalam kalangan atlet, selaras dasar sukan negara untuk membentuk masyarakat aktif, sihat dan cergas.

“Bermula pada peringkat ini, atlet yang berbakat hendaklah diketengahkan dan diberi pendedahan latihan serta penyertaan di dalam kejohanan di peringkat lebih tinggi.

“Saya berharap kejohanan ini akan dapat melahirkan jaguh pelapis yang mampu menyumbang ke arah kecemerlangan sukan negara pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian SUKANUN 2019 di Stadium UiTM Kampus Shah Alam, malam tadi.

Amirudin berkata, penganjuran karnival sukan itu juga membuka peluang kepada sektor pelancongan dan Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan pada setiap program sukan baik di peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa.

SUKANUN 2019 anjuran PBBM dengan kerjasama UiTM, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Subang Jaya bermula 19 hingga 26 Julai ini.

Sukan dwitahunan itu mempertandingkan 23 acara Bola Sepak 9 Sebelah Terbuka dan Veteran; Bola Jaring; Badminton Berpasukan; Olahraga, Futsal dan Ping-pong Berpasukan.

Berlangsung di Shah Alam, Subang Jaya dan Klang, acara perasmian SUKANUN edisi ke-11 dimulakan dengan Perbarisan Lintas Hormat semua 63 agensi kerajaan di bawah PBBM yang bertanding.

Sempena upcara pembukaan dan nyalaan obor kejohanan, Tourism Malaysia memenangi Perbarisan Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM1,000 serta hamper sumbangan Nestle.


Pengarang :