PBTSELANGOR

TSSC 2019: 4,000 tiket untuk warga MBSA

SHAH ALAM, 17 JULAI: Warga kerja Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima 4,000 tiket bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor (TSSC) 2019, di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos ini.

Penyerahan tiket perlawanan membabitkan pertembungan dua gergasi, Selangor dan Singapura itu disempurnakan Pengerusi dan Pengurus TSSC, Tan Sri Dato’ Abd Karim Munisar kepada Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim.

Pada masa sama, tiket juga diserahkan kepada pengurus dan pemain bola sepak MBSA termasuk Pengurus Pasukan Soccerkids MBSA yang menjadi pasukan bola sepak cilik serta wakil Kelab Rekreasi MBSA.

Abd Karim berkata, tiket berkenaan sebagai tanda sokongan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit terhadap penganjuran TSSC yang kini memasuki edisi ke-18.

“Setiap tahun kita akan memulakan jelajah promosi di MBSA selepas tarikh berkenaan mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu kejohanan berprestij itu diadakan di Stadium Shah Alam.

“Mungkin tahun hadapan kejohanan ini akan diadakan di Singapura,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan tiket berkenaan, di Auditorium Shah Alam, di sini hari ini.

Abd Karim berkata, jualan tiket kepada penonton akan mula dibuat dalam minggu ini dengan harga serendah RM10 sejurus selesai aktiviti promosi di kesemua tempat termasuk PBT, di Selangor.

“Kita menjangkakan antara 50,000 hingga 60,000 tiket dijual termasuk tiket ‘complimentary’ untuk pelajar sekolah.

“Saya yakin Stadium Shah Alam akan dipenuhi penonton berdasarkan maklum balas diterima daripada orang ramai yang menghubungi kita untuk mendapatkan tiket perlawanan.

“Dengan semangat dan sokongan padu daripada penonton, saya optimis pasukan Selangor dapat mengekalkan ketiga-tiga piala berkenaan,” katanya.


Pengarang :