EKONOMI

Bursa Malaysia susut 0.4 peratus pada tengah hari

KUALA LUMPUR, 17 JUL : Bursa Malaysia ditutup 0.4 peratus lebih rendah pada akhir dagangan pagi, menjejaki prestasi lemah bursa Asia susulan kebimbangan baharu membabitkan rundingan perdagangan China-AS.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.96 mata kepada 1,661.98 berbanding 1,668.94 semalam.

Indeks bergerak antara 1,660.96 dan 1,667.79 di sepanjang dagangan pagi.

Kedudukan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 477 berbanding 199, manakala 384 kaunter tidak berubah, 796 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.19 bilion saham bernilai RM970.0 juta.

Public Investment Bank Bhd berkata indeks komposit dijangkakan lemah ekoran penutupan rendah saham AS pada Selasa selepas Presiden Donald Trump, dalam taklimatnya kepada pemberita, menyatakan perjanjian mengenai tarif perdagangan dengan China ‘masih jauh untuk diselesaikan.”

“Situasi itu muncul sehari selepas indeks ekuiti utama melonjak ke paras penutupan tertinggi harian serta ketika Wall Street menilai laporan pendapatan bank,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Bagi saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals, turun 25 sen kepada RM7.99, TNB susut 12 sen kepada RM13.66, Maxis turun tujuh sen kepada RM5.63, IHH susut empat sen kepada RM5.76 manakala Hong Leong merosot 10 sen pada RM18.50.

Bagi kaunter paling rugi BAT susut 22 sen kepada RM30.42, Genting Plantations turun 14 sen kepada RM9.90, Ajinomoto, Hong Leong Industries susut 12 sen kepada RM17.30 dan RM11.28 manakala Amway turun 11 sen kepada RM6 .08.

Indeks FBM Emas merosot 47.87 mata kepada 11,809.41 dan Indeks FBMT 100 turun 48.25 mata kepada 11,632.24.

Indeks FBM Emas Shariah merosot 62.64 mata kepada 12,196.05, FBM Ace turun 0.05 mata kepada 4,700.68 manakala FBM 70 susut 59.94 mata kepada 14,890.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 25.54 mata kepada 16,589.68, Indeks Perladangan merosot 6.86 mata kepada 6,878.79 manakala Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian turun 1.91 mata pada 158.30.

-BERNAMA


Pengarang :