SELANGOR

Ubat kuat bernilai RM510,000 dirampas

SHAH ALAM, 15 JUL: Jabatan Kesihatan Selangor merampas ubat kuat lelaki jenama ‘Soloco Candy’ bernilai RM510,000 disyaki mengandungi racun berjadual Tadalafil dalam satu serbuan di sebuah kilang di Damansara, semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, kilang itu didapati menjalankan aktiviti pengilangan produk kesihatan tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan juga makanan.

“Turut dirampas dalam serbuan pukul 9.30 pagi itu ialah kosmetik tidak bernotifikasi yang dianggar bernilai RM124,000 dan beberapa mesin pengilangan. Kesemuanya dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli sebarang ubat yang tidak berdaftar secara dalam talian, dan orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi komestik dengan melayari www.npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

“Aduan dan maklumat berkaitan juga boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) iaitu http://moh.spab.gov.my atau menghubungi talian 03-78413200,’’ tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :