BERITA UTAMA

SIBS sasar urus niaga perniagaan bernilai RM250 juta

PETALING JAYA, 15 JUL: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 yang berlangsung pada 10 hingga 13 Oktober nanti dijangka dihadiri lebih 30,000 pengunjung dengan anggaran urus niaga perniagaan bernilai RM250 juta.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sasaran itu mengatasi urus niaga yang dicatatkan pada persidangan sama tahun lalu bernilai RM194.6 juta.

“SIBS 2018 berjaya menarik kehadiran lebih 23,000 pengunjung dari rantau ini, dengan nilai transaksi perniagaan bernilai RM194.6 juta yang dijana daripada acara itu.

“Kami berharap dapat menarik lebih ramai pengunjung serantau dan rundingan perniagaan pada SIBS 2019 berikutan banyak acara dan program sampingan lebih menarik yang dirancang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada Pelancaran Rasmi SIBS 2019 di Hotel Sheraton di sini, hari ini.

Sementara itu dalam sidang medianya, Amirudin berkata, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan reputasi cemerlang Selangor sebagai destinasi pilihan pelabur.

Katanya, selain negara Asia, Selangor turut mengalu-alukan kehadiran pelabur seluruh pelusuk dunia seperti negara Eropah dan Afrika.

SIBS 2019 anjuran Invest Selangor dijangka berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Persidangan itu menghimpunkan pakar ekonomi, delegasi kerajaan dan tokoh perniagaan berprofil tinggi di rantau ini, terutama mereka yang berpengaruh dalam Persidangan Perniagaan ASEAN.

Pada persidangan itu nanti, pelbagai program diadakan seperti Ekspo Antarabangsa Selangor 2019, Persidangan Perniagaan Selangor-Asean 2019, Festival Kulinari Selangor 2019, Persidangan Halal Antarabangsa Selangor, Konvensyen Smart Selangor dan Konvensyen Ekonomi Digital.


Pengarang :