SELANGOR

Yayasan Selangor capai KPI 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JULAI: Yayasan Selangor mencatatkan peningkatan 9.1 peratus dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2018, dengan 60.6 peratus pelajar tajaannya mencapai keputusan 5A dan ke atas.

Pemangku Pengurus Besarnya, Zahura Zakry berkata, peningkatan itu membolehkan Yayasan Selangor mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan sebelum ini.

“Pencapaian keputusan pelajar tajaan meningkat walaupun berlaku perubahan format peperiksaan saban tahun, sekali gus membuktikan mereka mempunyai semangat juang dan jati diri yang kental dalam mengharungi pelbagai cabaran masa kini.

“Yayasan Selangor menetapkan KPI akademik sebagai salah satu instrumen yang digunakan bagi menilai keberkesanan fungsi dan peranannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2018, di Kelab Shah Alam, di sini.

Pada majlis itu, seramai 215 pelajar menerima anugerah yang disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari atas kecemerlangan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Tingakatan 3 dan SPM.

Pada masa sama, Zahura memaklumkan daripada aspek kualiti, sebanyak 6.2 peratus keputusan 8A ke atas dalam peperiksaan utama, pada 2018.

Manakala bagi program Pelajar Berpotensi Tinggi (HIPERS) katanya, seramai lapan orang pelajar berjaya mencapai keputusan 8A ke atas.

“Keputusan itu terbaik dalam sejarah Yayasan Selangor apabila terdapat pelajar yang turut memperoleh 11A.

“Semua pelajar ini layak menikmati kemudahan pinjaman pendidikan Yayasan Selangor untuk meneruskan pengajian di peringkat diploma dengan anggaran peruntukan RM16,000 sepanjang pengajian dan RM24,000 di peringkat ijazah,” katanya.


Pengarang :