AGENDANASIONAL

11 Tabika Kemas rosak di Kedah, Perlis akan dibaiki segera

ALOR SETAR, 11 OGOS: Sebanyak 11 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang mengalami kerosakan akibat ribut di Kedah dan Perlis malam kelmarin akan dibaik pulih segera, sebelum sesi pembelajaran dan pengajaran bermula selepas cuti Raya Aidiladha.

Tanpa penjelasan lanjut tentang nilai kerugian disebabkan kerosakan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata tabika yang hanya melibatkan kerosakan kecil itu, masing-masing empat di Kedah, manakala selebihnya di Perlis. 

“Berdasarkan laporan yang kita terima kerosakan yang dialami 11 tabika ini, tidak terlalu besar dan kita jangkakan seawal minggu depan ia akan dibaiki,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa ribut di Taman Indah di sini hari ini.

Rina berkata kementeriannya akan turut membantu apa yang patut untuk mangsa ribut terlibat terutamanya golongan B40 meskipun agensi lain bertanggungjawab menyediakan bantuan ketika berlaku bencana.

“Apabila sesuatu bencana berlaku NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) akan bertindak, tetapi kita akan turun padang melihat keadaan yang berlaku. Seperti hari ini kita datang bukan atas kapasiti kementerian sebaliknya atas inisiatif sendiri, Srikandi (Bersatu),” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :