AGENDANASIONAL

ABIM: Ketepi sentimen perkauman, terus berjuang

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 tahun ini, rakyat Malaysia khasnya perlu terus berjuang memerdekakan negara daripada anasir perkauman sempit yang cuba dimanipulasi segelintir pihak bagi mencetuskan permusuhan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, semangat merdeka disegarkan saban tahun pada setiap detik 31 Ogos, perlu disemarakkan lagi dengan kefahaman sejarah tanah air dengan lebih mendalam.

Katanya, melaluinya seseorang rakyat pasti akan menghargai keunikan sosio-budaya Malaysia berasaskan konsep “Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan”.

“Kita perlu bersama membebaskan diri daripada penjajahan minda dan jiwa, dengan mengangkat tinggi jati diri negara bangsa serta martabat Bahasa Kebangsaan.

“Malah, kita juga perlu teguh bersama, untuk menyatakan tidak kepada perkauman yang hanya akan menyemai kebencian semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Raimi berkata, fahaman rasis sekadar momokan yang perlu diterpencilkan suara majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan serta ingin bersama membangunkan semula negara ini.

Beliau berkata, generasi muda khususnya perlu menghayati sejarah serta mempertahankan perpaduan dan keharmonian negara daripada sebarang anasir pemecah belah.

Katanya, begitu juga dengan ketibaan tahun baru Hijrah 1441H esok, umat Islam harus terus tampil untuk mempertahankan maruah Islam yang diinjak di Kashmir, Xinjiang, Rohingya, Gaza, dan Syria.

“Penindasan yang berlaku adalah pengkhianatan terhadap semangat kemanusiaan sejagat.

“Detik Tahun Hijrah 1441, umat Islam harus meningkatkan iltizam untuk memelihara keamanan sejagat dan meningkatkan kekuatan sosio-ekonomi untuk membela agama serta masyarakat yang ditindas di seluruh dunia,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan Ke-62 dan Selamat Tahun Baru 1441H.


Pengarang :