AGENDANASIONAL

Rakyat perlu bersatu-padu, tolak perpecahan

SHAH ALAM, 31 OGOS: Rakyat diseru untuk terus bersatu-padu dan menolak sebarang unsur yang boleh membawa perpecahan kepada usaha membina semula negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, rakyat perlu menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan yang sentiasa berusaha keras untuk mengembalikan Malaysia ke landasan sebenar.

Katanya, jasa pejuang negara yang memerah seluruh kudrat dengan darah, keringat dan air mata bagi mencapai Kemerdekaan negara juga wajar dihargai seluruh rakyat Malaysia amnya.

“Dalam era Malaysia baharu ini, saya berazam membawa semangat perjuangan wirawan dan srikandi negara terdahulu dalam bersama mengemudi serta membina semula negara yang kita cintai.

“Walaupun berbeza wadah dan suasana namun hasratnya tetap sama iaitu memastikan setiap warganegara dapat hidup selesa, makmur juga harmoni,” katanya dalam kenyataan perutusan Hari Kemerdekaan ke-62, hari ini.

Zuraida berkata, selaku menteri beliau akan memberi fokus terhadap pembangunan demi kebaikan dan keperluan rakyat.

“Tumpuan akan saya berikan untuk pembangunan komuniti secara holistik, negara bersih, perumahan selesa dan mampu dimiliki serta perkhidmatan kerajaan tempatan yang memuaskan,”katanya.


Pengarang :