AGENSISELANGOR

Anak MP, dua beradik antara pelajar baharu di UNISEL

BESTARI JAYA, 17 OGOS: Anak Ahli Parlimen dan adik beradik antara pelajar baharu yang memilih Universiti Selangor (UNISEL) sebagai tempat mereka menyambung pengajian.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui yang hadir mendaftarkan anak lelakinya, Lim Jia Hooi bagi program Diploma Komunikasi dan Media berkata, selaku anak Selangor, beliau amat berbangga dengan kecemerlangannya.

Katanya, UNISEL melahirkan ramai graduan yang berjaya di luar sana, sekali gus antara alasannya menghantar anaknya ke universiti itu.

“Selaku anak Selangor, saya amat berbangga untuk mempromosikan universiti ini khususnya kepada anak-anak tempatan kerana UNISEL merupakan universiti yang amat istimewa.

“Saya berharap agar UNISEL dapat menjadi pilihan semua golongan masyarakat lebih-lebih lagi warga Selangor,” katanya ketika ditemui di Majlis Pendaftaran Pelajar Baharu UNISEL bagi kemasukan Ogos 2019 di Dewan Canselor, kampus Bestari Jaya.

Sementara itu, dua beradik Nur Diyana Aqilla Anuar dan adiknya, Nur Liyana Shasha Anuar yang turut mendaftar.

Mereka yang berasal dari Petaling Jaya itu, memilih untuk melanjutkan pengajian di UNISEL kerana lokasi yang hampir dengan rumah disamping dapat bersama-sama adiknya.

“Kami amat bersemangat untuk menempuh cabaran baharu sebagai mahasiswa UNISEL.

“Pada masa sama, kami juga berharap dapat merealisasikan harapan kedua ibu-bapa kami yang mahu melihat kami bergelar seorang guru pada suatu hari nanti,” katanya.

Nur Diyana Aqilla merupakan mahasiswa baharu bagi program Sarjana Muda Pendidikan manakala Nur Liyana Shasha pula bakal mengikuti program Diploma Pendidikan (Pengajian Pra Sekolah).

Tarikh pendaftaran pelajar baharu bagi pengambilan Ogos 2019 akan dilanjutkan bermula hari ini sehingga 30 Ogos ini.

Pelajar yang berminat boleh datang secara terus ke kampus pengajian di Shah Alam dan Bestari Jaya.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Pejabat Pemasaran & Kamasukan di talian 03-55223400 / 012-3401740 / 014-8172198.


Pengarang :