BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

Cabaran atasi ‘pelapor media’ tidak beretika

SUBANG, 5 OGOS: Kerajaan dan agensi keselamatan hari ini berdepan dengan cabaran untuk mengawal sentimen dan persepsi yang ditimbulkan oleh “pelapor media” yang tidak beretika di media sosial pada masa ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, golongan “pelapor media” yang tidak beretika berkenaan tidak memahami kesan daripada laporan-laporan yang mereka tularkan di media sosial.

“Cabaran komunikasi pada masa ini semakin pantas, laporan media semakin demokratik tidak seperti zaman dahulu yang masyarakatnya hanya bergantung hanya kepada akhbar, televisyen. Laporan menerusi akhbar dan televisyen masih boleh dikawal.

“Namun hari ini dengan kewujudan apa yang dipanggil media sosial yang berada di tangan setiap daripada kita, anak-anak, kawan-kawan kita. Pada masa ini setiap orang boleh menjadi pemilik dan “pelapor media”. “Pelapor media” ini tidak memahami etika dan kesan daripada tindakan mereka.

“Pelopor media” kadang kala hanya bersifat populis, ingin tular atau mencari kegembiraan semata-mata,” kata beliau.

Amirudin berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Dan Table Top Exercise Anjuran Bersama Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor Dan Petronas Gas Berhad di Hotel Holiday Villa di sini, hari ini.

Selain itu, menurut beliau, kecanggihan teknologi media sosial hari ini juga mampu mengolah dan mengubahsuai imej atau klip video yang kejadiannya mungkin berlaku 10 tahun lepas tetapi ia seolah-olah baru berlaku.

Bagaimanpun, Amirudin berkata, walaupun sukar untuk membendung “pelapor media” berkenaan tetapi pihak berkuasa perlu mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut.

“Bayangkan kalau sentimen 13 Mei 1969 berlaku dalam konteks kita hari ini, pasti ia tidak akan berlaku di Kuala Lumpur sahaja tetapi juga di tempat lain,” katanya.

Ketika menyentuh kejadian kekacauan di Kuil Kuil Sri Maha Mariamman di sini tahun lalu, Amirudin menegaskan tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang yang termaktub.


Pengarang :