Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDAJENAYAH

Dua lelaki ditahan kes tetak nenek, cucu

SHAH ALAM, 13 OGOS: Polis menahan dua individu lelaki bagi membantu siasatan kes tetak yang menyebabkan seorang wanita warga emas maut manakala cucu lelakinya parah dalam kejadian di Sabak Bernam dekat sini awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Polis Lim Chee Khoon berkata, kedua-dua suspek itu ditahan di sekitar Sabak Bernam pada petang semalam dan awal pagi tadi.

“Suspek pertama berusia 37 tahun ditahan pada pukul 7 malam semalam manakala suspek kedua berusia 45 tahun ditahan pada kira-kira pukul 1 pagi tadi, kedua-dua mereka ditahan di sekitar sini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tambah Lim, pihaknya sedang mengesan saki-baki suspek dan menjangkakan akan membuat beberapa lagi tangkapan dalam masa terdekat.

“Motif serangan kejadian malam tadi kami masih lagi siasat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi semalam, P. Runkanaikey, 78, maut akibat cedera parah di seluruh badan manakala cucunya, N. Silamparasan, 22, cedera parah di beberapa bahagian badan selepas ditetak oleh lima individu bertopeng di rumahnya.

Dalam kejadian itu juga tiada wang tunai atau barang kemas milik mangsa telah dilarikan suspek, malah sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger juga tidak dilarikan.

-BERNAMA


Pengarang :